Monday 24 February 2014

Dating+Riadah di Pesta Layang-Layang 2014 ;)

As Salam~~~

 Sempena Pesta Layang-Layang 2014 ni...aku dan ChintaHati mengambil kesempatan untuk beriadah sambil melepaskan sedikit tekanan kerja di Kedai Rino Printing.

Kami pergi Pesta Layang-Layang pada hari Khamis, ChintaHati sempat main layang-layang dalam 1 jam lebih jew... sebab ada customer dah tunggu di kedai. Tengah beriadah pun terpaksa berhenti untuk sambung kerja balik...(kerja kuli kan..memang camni lah..). Lepastu, dah lah main nya kejap...layang-layangnya pula berat sebelah dan tak boleh naik tinggi. Nasib awaklah sayang oi....

 Oleh kerana tak berpuas hati dapat main sekejap jew hari Khamis tu... ChintaHati ajak lagi aku pergi pada hari Jumaat pula. Padahal kerja tengah banyak ni....tapi, ikutkan jelah kehendak dia. Kami pergi agak lambat...dalam jam 6 baru gerak dari kedai..yelah kan...benda tak dirancang, jadinya...redah jelah.
 Oleh kerana, cuti umum Johor hari Jumat dan Sabtu, jadinya...jalan agak sesak juga lah kan..Setelah meredah kesesakan jalan....dapat juga kami parking kereta atas divider jalan...ha kan...nampak tak orang excited nak main layang-layang..Atas divider pun jadi tempat parking kereta.

Sampai jew kat padang tu...ChintaHati terus pasang layang-layang dia..Tak sampai 10 minit main...layang-layangnya patah pula...Oleh kerana tak sampai hati tengok muka sedih dia tu..Aku pun suruh beli lagi lah...Apalagi...sukalah dia kan.... (RM65 juga melayang beli layang-layang ChintaHati ni....)

Lepas pasang layang-layang baru tu..teruslah dia naikkan.Tinggi juga lah layang-layang ChintaHati kat atas nun....Untuk melepaskan gian dia tu..aku temankan dia main sampai jam 8.15 malam...

Lepas tu, kami lepak sekejap tengok layang-layang bercahaya pula...Nasib baiklah ada appointment dengan customer kat kedai (lagi sekali...kena utamakan kerja walaupun tengah beriadah)...kalau tak...ChintaHati nak beli LED pula nak letak kat layang-layang dia pastu nak sambung main....Wah...memang tak siaplah keja yang berlambak kat kedai tu kan...

Sampai jew kedai, customer pun datang...lepastu terus siapkan printing baju. Akibatnya...keja kami siap semua dalam jam 1.00 pagi.

Oh ya...sepanjang 2 hari bermain layang-layang ni...Apit (budak praktikal Rino Printing) yang temankan ChintaHati main layang-layang. Nak harapkan aku..memang taklah kan...dengan perut berboyot-boyot ni nak berlari-lari...terberanak juga kang kat situ....hahahhahahah.
.
Ambik ko.....nak sangat kan main layang-layang. Walau macam mana pun kami semua Happy!!!!. Hahahhaha


love,



Friday 21 February 2014

Sarung Tilam Waris Dah Siap ;)

As Salam~~~

Minggu lepas aku dan ChintaHati balik kampung...tetahu jew sarung tilam dan bantal Waris dah siap. Uda siap buatkan extra bantal mucuk untuk Waris lagi...Untunglah awak Waris..belum keluar dah dapat hadiah.... 

Untuk sarung tilam ni kainnya aku beli kat Jakel Bandar Baru Uda. Mulanya.....aku nak kain warna merah polka dot. Tapi....cari punya cari...tak jumpa pula. So, dengan dukacitanya terpaksalah aku ikut pilihan ChintaHati untuk memilih corak jalur-jalur dan biru polka dot ni. 

Tapi... bila dah siap, cantik pula tengok...kira ok lah kan daripada tak da.... (ayat nak sedapkan hati sendiri...)


Date:21 February 2014/ 21 R'Akhir 1435H
Waris Ayah Bonda: 34 weeks 4 days


love,



Saturday 15 February 2014

Sticker Label Untuk Robok Waris ;)

As Salam~~~

Ni namanya kerja orang yang terlebih rajin...hahahah. Sebenarnya, sesaja jew aku buatkan sticker label ni untuk ditampal di robok Waris nanti. Sticker ni bukan sahaja untuk penyeri robok Waris...tetapi juga untuk memudahkan aku dan ChintaHati malah orang lain untuk ambil barang dekat robok Waris nanti...Nanti takdalah tercari-carikan barangnya kan.....

   **Robok=Almari Pakaian

Date:15 February 2014/ 15 R'Akhir 1435H
Waris Ayah Bonda: 33 weeks 5 days


 love,



Friday 14 February 2014

Adik Dah Balik Rumah...

As Salam~~~

Hari Ahad (02/02/14) minggu lepas, Doktor HDKT beritahu kat mak yang adik dah boleh bawak balik rumah. Doktor cakap...kalau adik duduk kat wad ni pun akan memudaratkan kesihatan adik...sebab adik duduk dalam wad lelaki yang pesakitnya bermacam-macam penyakit. Walaupun adik masih koma lagi..tetapi adik tidak lagi memerlukan mesin dan ubat sokongan....Jadinya, mak setuju untuk membawa adik balik rumah. 

Sebelum mak bawak adik balik rumah, mak kena beli tilam dan mesin untuk sedut lendir dibahagian leher adik yang ditebuk. Dengan bantuan Nurse di HDKT, mak beli mesin dan tilam di sana sahaja. Mesin sedut lendir , RM650 dan tilam yang membantu peredaran darah RM450. Sebelum membawa adik balik, mak diajar cara menggunakan mesin sedut lendir tu. 

Hari Khamis (06/02/14) , Adik di bawa keluar dari HDKT. Oleh kerana kami adik beradik bekerja..mak meminta tolong dengan Pak Andak (adik arwah abah). Lagi pun...Pak Andak ada van, jadinya selesa sikitlah mak dan adik dalam perjalanan untuk balik rumah.

Hujung minggu lepas (08-09/02/14), aku pulang ke kampung. Masuk jew rumah...terus nampak adik terbaring kat katil... Mak selimutkan adik dengan baju dan kain pelikat arwah abah. Keadaan adik betul-betul mengingatkan aku pada arwah abah ketika sakit.


Mak cakap, adik dah ada perubahan...bila dipanggil..dia akan angkat kening dan mengangguk kepala. Aku harap perubahan adik yang sedikit ini memberi kami harapan untuk melihat adik terus kuatkan semangat untuk pulih seperti sedia kala. 

Aku cuba juga berbual dengan adik... bila ditanya "nak air ke tak"..dia akan mengangguk kepala...bila dah banyak aku suapkan air...aku akan tanya, "nak lagi tak airnya.." dia akan menggeleng kepala... Aku tersenyum melihat perubahan yang dia beri. 

ChintaHati dan Abang Ijal(suami Kak Teh) akan menolong mak untuk menyalinkan pampers adik. Walaupun badan adik semakin kurus...tapi mak tak larat untuk menukar pampers adik...yelah..jasad yang tidak bergerakkn..mestilah berat. Aku pun tak larat nak mengangkat badan adik. 

Hari Ahad lepas, adik dimandikan setelah sebulan lebih terbaring di katil. ChintaHati dan Abang Ijal yang memandikan adik. Seperti memandikan baby..begitulah keadaan adik. Walaupun adik tak membuka mata dan dalam keadaan tidak sedarkan diri, nampak di muka adik yang dia selesa dimandikan.

Di rumah, kami bergilir-gilir teman adik disebelah katil. Ajak adik berborak dan perdengarkan adik dengan bacaan Al-Quran. Buat masa ni...adik hanya makan bubur yang di blender halus dan susu yang dibeli di farmasi sahaja. Mak akan campurkan Air Zam Zam sebagai salah satu ikhtiar untuk adik sembuh.

Sepanjang aku di kampung, jiran-jiran dan kawan-kawan adik ramai juga yang datang melawat adik. Alhamdulilah....masih ramai yang mengingati dan menyayangi adik. Kami cuma berharap doa kalian tidak pernah putus untuk adik sembuh seperti biasa...

Semoga kami sekeluarga sentiasa diberi kekuatan untuk menempuhi dugaan yang satu ini. Amin~~~


love,



Thursday 13 February 2014

Bag Waris & Bonda ke Hospital dah Siap !!!

As Salam...

Akhirnya....siap juga aku packing semua barang-barang keperluan aku dan Waris untuk ke hospital. Pada awalnya...memanglah berkobar-kobar nak siapkan. Tapi banyak sangat kekangan...jadinya, minggu lepas baru siap semua.

Alhamdulilah...semuanya dah siap. Lepasni aku dah bolehlah tarik nafas panjang-panjang. ChintaHati pun dah boleh tarik nafas lega...kalau tak, dia pun bising..sebab tak siapkan lagi barang-barang nak bawak pergi hospital. Yalah...anak pertama, semuanya kalut dan excited semacam =) . 

Aku siapkan 3 bag...bag Waris, bag aku dan bag keperluan lain. Nampak macam banyakkan....tapi bagi aku, biar lebih..jangan nanti kat hospital memacam tak cukup....

Buku pink, IC, Handphone dan Power bank memang aku dah siap-siap letak dalam hand bag. Jadinya..takdalah dalam gambar ni .....



 Lepasni boleh lah persiapkan mental dan fizikal pula ;)

Date:13 February 2014/ 13 R'Akhir 1435H
Waris Ayah Bonda: 33 weeks 3 days


love,



Thursday 6 February 2014

Teknik Pernafasan Ketika Hendak Bersalin

As Salam~~~

 Untuk menambahkan persediaan dan keyakinan diri untuk bersalin nanti, aku mengambil tahu dan mempelajari teknik pernafasan ketika hendak bersalin nanti. Sebenarnya masa kelas keibu bapaan masa tu Nurse ada ajar....tapi tak dalah secara terperinci. Jadinya kenalah rajinkan diri ini meng Google ilmu ini...

Ok, kat bawah ni aku kongsikan teknik nya ya...

1. Masa kita rasa start nak sakit. ( awal-awal la )
Time ni kita tarik nafas dalam-dalam ikut hidung, then keluarkan nafas ikut mulut.

2. Then bila dah rasa kontraksi makin kerap and semakin sakit
Time tu cuba tarik nafas pendek and cepat then lepas. Pendek-pendek je. Tarik nafas pendek ikut mulut, lepas pun ikut mulut.

3. Bila rasa macam nak meneran tetapi belum tiba masanya lagi.
Time ni tarik nafas 2 kali terus ikut hidung, then keluarkan ikut mulut. Tarik nafas and hembuskan tu pendek-pendek je. Ala-ala ‘sniff’, ‘sniff’, ‘fuhhhh’. Bila takde rasa nak meneran, hembuskan nafas yang lembut and macam biasa.

4. Bila tiba masa meneran
Time ni cara pernafasan dia adalah tarik nafas dalam-dalam melalui mulut, sebab oksigen masuk lagi banyak ikut mulut compare ikut hidung.. Then baru push sambil lepas nafas perlahan-lahan dengan satu nafas supaya baby tak tersekat dan betul-betul keluar.

Teran tanpa mengeluarkan suara dan sekiranya kehabisan nafas semasa meneran, jangan lepaskan kesemua nafas, terus tarik nafas semula. Ini bagi mengelakkan bayi masuk ke dalam semula. Time meneran tu dua-dua tangan pegang pada buku lali then masa meneran tu, kita tengok perut kita masa angkat kepala dan dagu cecah dada. Ini untuk elakkan dari kita angkat punggung.
  
Posisi suami ketika saat-saat isteri nak meneran pula:-

Sebelah tangan pegang bahu isteri untuk dijadikan sebagai tempat menyandar (isteri boleh bersandar dilengan suami supaya terasa lebih selesa). Dan sebelah tangan lagi tekan lutut isteri untuk mengelakkan isteri mengangkat punggung semasa meneran (elakkan koyakan)

#Lepasni dah bolehlah berlatih teknik pernafasan ni.. harap semuanya dipermudahkan oleh Allah S.W.T.Insyaallah, Amin~~~

Date:6 February 2014/ 6 R'Akhir 1435H
Waris Ayah Bonda: 32 weeks 3 days

love,



Cara Suami Buatkan Air Selusuh Untuk Memudahkan Isteri Ketika Bersalin.

As Salam~~~

Bila dah masuk 3rd Trimester ni...makin ligat kepala ni memikirkan persediaan untuk bersalin nanti. Antara persediaan yang aku buat ialah meminta ChintaHati menyediakan air selusuh... Ok, kat bawah ni aku bagi info dan cara-cara untuk buat air selusuh...

Apa itu Air Selusuh
Air Selusuh merupakan air untuk memudahkan dan melancarkan wanita ketika waktu hendak bersalin.

Apakah Hukumnya?
Jika air itu digunakan sebagai IKHTIAR atau lebih jelas sebagai ubat maka hukumnya HARUS dengan syarat air itu tidak bercanggah dengan Islam seperti dibacakan pada air itu ayat-ayat Al-Quran dan doa-doa. Jika air itu bercampur dengan jampi-jampi karut yang menyesatkan maka hukumnya menjadi HARAM.

Apakah Dalilnya?
Firman Allah :

'Kami turunkan ayat-ayat Al-Quran adalah untuk digunakan sebagai penawar dan pembawa rahmat kepada orang-orang beriman'
-Surah Al-Isra', Juzuk 15-

Bahan-Bahan
Air Kosong (Lebih bagus jika gunakan Air Zam Zam...)
:- Oleh kerana Mak baru balik Umrah, rezeki aku lah dapat buat air selusuh ni guna Air Zam Zam =) 

 Kaedah Pengubatan
Suami tercinta haruslah membaca rangkaian ayat-ayat Al-Quran dan doa-doa dibawah ini...Sebaiknya minum air ini ketika saat nak bersalin....Boleh juga disapu pada perut isteri, sebaiknya selepas Asar sambil berdoa agar dipermudahkan urusan bersalin..Insyaallah~~~

Ayat Al-Quran dan Doa-Doa yang perlu Di Baca

1)Surah Al-Fatihah

2)Selawat Syifa
Ya Allah, berilah rahmat keatas penghulu kami, Nabi Muhammad SAW yang dengan berkat baginda, engkau menyembuhkan hati-hati, menjadi penawar dan menyihatkan tubuh badan juga memberikan kesembuhan penyakit serta mengurniakan cahaya penglihatan dan kurniakanlah juga rahmat keberkatan dan kesejahteraan keatas keluarga dan sahabat baginda.

3)Surah Al-Hashr : Ayat 21-24

4)Doa Selusuh

Ya Allah, dengan hak Maryam, juga hak hamba yang diturunkan kepadanya surah Maryam, ringankanlah daripadanya (NAMA ISTERI) penderitaan bersalin bagi isteriku, dengan rahmatmu wahai Tuhan yang amat mengasihani dari segala-galanya.

 5)Surah Al-Insyiqaq : Ayat 4-5

 dan memuntahkan apa yang ada di dalamnya menjadi kosong (4)
dan patuh kepada Tuhannya, dan sudah semestinya patuh (5)

6)Surah An-Nazi'at : Ayat 46
Pada hari ketika mereka melihat kiamat itu(kerana suasanya hebat), mereka merasa seakan-akan hanya (sebentar sahaja) tinggal (di dunia) pada waktu petang atau pagi hari. 


7)Doa Selusuh (Ulang)


8)Doa Pemudah

"Tuhanku, permudahkanlah dan jangan Kau sukarkan kerana Engkaulah yang maha memudahkan, segala yang susah adalah mudah bagiMu, Ya Allah, sempurnakanlah dengan kebaikan, dengan rahmatMu, ya Arhamar Rahimin "


**Semoga perkongsian ini bermanfaat untuk mommy to be di luar sana ;)


Date:3 February 2014/ 3 R'Akhir 1435H
Waris Ayah Bonda: 32 weeks
 



love,



Tuesday 4 February 2014

Braxton Hicks dan Cara Mengatasinya...

As Salam~~~

 Minggu ni masuk usia kandungan aku 8 bulan... Masuk jew 8 bulan ni aku kerap mengalami 'braxton hicks' atau dikenali sebagai kotraksi palsu...Malam tadi aku langsung tak boleh tidur, sakitnya Tuhan sahaja yang tahu... Jadinya, aku pun meng Google lah apa itu braxton hicks dan cara-cara untuk mengatasinya...

Di bawah ni aku kongsikan info yang aku jumpa di Google...

PERBEZAAN ANTARA KONTRAKSI BRAXTON HICKS DENGAN KONTRAKSI SEBENAR.
Kadangkala ramai yang keliru antara kontraksi palsu dengan kontraksi sebenar. Adalah berguna untuk anda mengetahui perbezaan antara keduanya kerana ia dapat membantu anda menjangkakan waktu yang sesuai untuk ke hospital. Jika anda datang ke hospital terlalu awal, kemungkinan besar anda akan disuruh pulang semula, manakala jika terlalu lewat pula dikhuatiri terjadinya kes bersalin di dalam kereta!

Kekerapan Kontraksi
Kontraksi Braxton Hicks: Kontraksi berlaku pada kadar yang rawak dan tidak beritma. Jarak antara dua kontraksi juga tidak semakin mendekat.
Kontraksi sebenar: Kontraksi beritma dalam interval yang teratur dan semakin lama jarak antara dua kontraksi semakin dekat.

Sifat Kontraksi
Kontraksi Braxton Hicks: Kontraksi mungkin berhenti ketika anda bergerak ataupun mengubah posisi tubuh.
Kontraksi sebenar: Kontraksi tetap berlaku walaupun anda bergerak atau mengubah posisi tubuh.

Kekuatan Kontraksi
Kontraksi Braxton Hicks: Kontraksi biasanya lemah dan tidak bertambah kuat, atau mungkin juga kuat pada awalnya tetapi semakin lemah dan akhirnya hilang.
Kontraksi sebenar: Kontraksi berlangsung secara terus-menerus dan bertambah kuat.

Bahagian Badan yang Terasa Sakit Semasa Kontraksi
Kontraksi Braxton Hicks: Kontraksi biasanya hanya terasa di bahagian hadapan perut.
Kontraksi sebenar: Kontraksi ‘menjalar’ bermula dari bahagian bawah punggung sehingga ke perut, atau sebaliknya.

5 CARA UNTUK MENGATASI KOTRAKSI BRAXTON HICKS 
Sesetengah wanita tidak merasa sakit apabila mengalami kontraksi Braxton Hicks. Namun, ada juga wanita – terutamanya bagi yang baru pertama kali hamil, merasakan sebaliknya. Di sini kami ingin kongsikan 5 cara untuk mengatasi rasa tidak selesa atau kesakitan yang dialami sewaktu mengalami kontraksi Braxton Hicks.

1. Berendam di dalam air panas
Berendam di dalam air panas dapat membantu membantu otot anda relaks dan sekaligus mengurangkan tekanan serta rasa sakit. Jangan khuatir sekiranya anda tidak mempunyai tab mandi atau jika anda sudah berada di hospital kerana mandi dengan air panas menggunakan gayung atau pancuran (shower) turut mampu memberi kelegaan.

2. Ubah posisi anda
Cuba ubah posisi anda. Sekiranya anda sedang berbaring, cuba duduk dan berdiri. Jika anda sedang bekerja, cuba berehat atau berbaring sebentar. Anda juga dicadangkan untuk membuat sesuatu pekerjaan di saat kontraksi ini datang supaya minda anda tidak terlalu memikirkannya.

3. Lakukan urutan
Berbekalkan minyak urut atau losyen kegemaran anda, oleskannya lembut pada perut anda dan urutkannya perlahan sambil mengarah ke bawah. Urutkan juga di sekitar punggung dan pinggul anda. Selain mengurangkan kesakitan, aroma minyak atau losyen yang digunakan juga dapat menenangkan anda. Sekali-sekala cuba dapatkan pasangan anda untuk membantu anda dalam proses ini.

4. Minum air kosong
Dehidrasi merupakan salah satu punca berlakunya kontraksi Braxton Hicks. Maka, elakkan daripada terdehidrasi dengan meminum air kosong secukupnya dari semasa ke semasa.

5. Melakukan teknik pernafasan
Relaks dan cuba aplikasikan teknik pernafasan yang anda pelajari dalam kelas antenatal. Tarik nafas dengan dalam dan cuba singkirkan semua pemikiran negatif dari minda anda. Cara ini dapat menolong anda berasa tenang dan lebih bersedia untuk menghadapi saat-saat kelahiran kelak.

C&P :pregnant.my

**Harap lepasni ni semuanya dipermudahkan dan dapat atasi dugaan braxton hicks ni...Amin~~~

Date:4 February 2014/ 4 R'Akhir 1435H
Waris Ayah Bonda: 32 weeks 1 days
 
love,



Monday 3 February 2014

Misi Mendobi Baju Waris =)

As Salam~~~

Selesai sudah misi aku untuk mendobi semua baju-baju dan kelengkapan Waris pada hari Ahad lepas....Daripada sekecil-kecil mitten n booties sehingalah kain bedung..semuanya aku dah basuh.

Untuk pakaian Waris ni aku gunakan sabun Pureen A-B-D yang warna biru ni. Untuk botol biru ni...sabunnya dah siap softener... Lembut jew baju-baju Waris lepas cuci.Lagi satu.....sabun ni baunya macam baby tau...wangi!!! dan buih dia pun banyak .... tapi bila bilas tu, takdalah nak guna banyak air...so, sangat disyorkan untuk para ibu diluar sana yew ;)

 Aku basuh baju waris 3 trip...mula-mula aku basuh warna putih dulu...lepastu basuh yang berwarna pula..yang last sekali aku basuh yang berbulu pula... Aku basuh guna tangan jew...ye lah.nak hilangkan habuk-habuk dan kotoran sikit-sikit jew kan..gonyoh-gonyoh jew kat dalam air sabun...Lepas dah bilas, spin guna mesin dan sidai...Aku tak sidai kat tempat panas...takut nanti kelembutan softener tu hilang. Aku sidai kat beranda rumah jew...




 *Untuk ambil gambar ni..aku letak lah kat panas kejap....ambik kat beranda rumah gelap pula kang...
 

Date:3 February 2014/ 3 R'Akhir 1435H
Waris Ayah Bonda: 32 weeks


love,



Online Shopping - Barang Waris & Bonda ;)

As Salam~~~

Yay...akhirnya sampai semua barang yang aku shopping online ni. Seperti biasa...aku akan survey dulu items yang aku nak beli dari segi harga dan kualiti....Aku akan pilih kedai online yang menawarkan harga yang berpatutan dengan kualiti yang terbaik. Ada satu-satu items tu aku survey sampai 2-3 minggu. Semua benda aku perbandingkan...hahaha. Yelah, bila beli online ni...banyak benda perlu diteliti..sebab kita tak dapat tengok benda tu depan mata kan..Nanti kalau main beli jew..tak puas hati pula..nak nyesal pun dah tak guna kan.. ye dak??

Ok...kat bawah ni aku kongsikan barang-barang yang aku beli online =)

1)SET TILAM KEKABU - Kalau nak ikutkan banyak page di FB dan laman web yang dah mula jual set tilam kekabu ni. Tapi, aku pilih Kekabu Online Dot Com. Sebabnya adalah kerana ownernya yang peramah dan senang buat rundingan, produk yang dihasilkan berkualiti...tilam nya tebal gila kot..kekabu yang dimasukkan dalam tilam tu memang mampatlah. Puas hati sungguh aku tengok hasilnya. Dan yang paling best!!! HARGA yang sangat berpatutan..Macam yang aku beli size M (28'x39') + 2 bantal + 2 bantal peluk cuma RM130 jew..so, pergilah usha-usha design dan size lain yang korang suka =)

 Design ni ChintaHati yang pilih...

2)BOTOL SUSU AVENT - Aku memang cari botol susu brand Avent ni. Jadinya, aku cuma bandingkan harga di setiap kedai online yang aku survey lah kan.... dan setakat yang aku survey, NurizShaz Baby Shop yang bagi harga yang paling murah sekali. Masa aku beli ni ada promosi..Jadinya, harga memang berbaloi-baloilah kan... Aku beli set Combo, 2 botol 4oz dan 2 botol 9oz. Total nya...cuma RM126 jew!!! Murah kan...

3)NURSING COVER & NURSING PILLOW - Untuk nursing cover ni...aku survey 5-6 kedai online jew..kebanyakan mereka menawarkan harga RM50++ . Pastu...aku terjumpa Sarang Craft by Abby ni...ha..pe lagi, aku skodenglah nursing cover yang dihasilkan. Corak-corak fabric yang ditawarkan memang cantik dan modern gitu.... Pastu ownernya pun cepat jew bagi feedback bila kita tanya apa-apa. Dan harganya...cuma RM35 sahaja!! siap dengan bag kecik untuk simpan nursing cover ni tau... So, bila tempahan baru dibuka jew..aku terus oder satu lah kan... Fabricnya sangat best...tak panas..aku suka!! 


Untuk nursing pillow pula...aku beli di Sarang Craft by Abby juga...kenapa??? sebab murahlah...RM60 jew. Pastu boleh pilih design fabric apa yang kita nak...


4)BARUT BABY - Untuk barut baby ni..aku tak plan pun nak beli online..sebab aku dah tempah dengan Mak Ngah aku...lepastu tetiba rasa nak tambah pula. Lepas dah survey... kedai online Barutbaby Murah yang menawarkan harga yang berpatutan... Jahitannya pun kemas..Lepastu ada banyak pilihan jenis barut, size dan fabric nya. Aku pilih jenis barut bertali jew...sebab aku tak suka yang jenis tampal..Untuk harganya pula...kalau di kedai online lain menawarkan RM5-RM6/pcs...kedai online ni cuma RM4.50 jew!!! Walaupun beza 50 sen...aku tetap ambil kira tau... sekarang ni semua kena berkira....hahaha.

5)SET BERPANTANG - Set berpantang ni aku dah review di entry aku yang lepas...Korang boleh tengok di SINI. Aku pilih produk Tanamera.. dan di beli di Set Berpantang. Aku pilih kedai online ni sebab masa tu ada buat promosi...harga asal set ni RM360, masa aku beli RM330 jew... Owner dia peramah dan senang dibuat rundingan.


Ini jelah barang-barang yang aku beli online....yang lain aku shopping dekat shopping mall dengan ChintaHati nanti...

**Murah atau mahal sesuatu barang tu bergantung pada budget seseorang juga...kadang-kadang bagi kita benda tu mahal...tapi bagi dia benda tu dah cukup murah... So, semuanya bergantung pada budget masing-masing lah yew =)

Date:3February 2014/ 3 R'Akhir 1435H
Waris Ayah Bonda: 32 weeks



love,



Sunday 2 February 2014

Shopping Barang Waris =)

As Salam~~~

Akhirnya....setelah tertangguh berminggu-minggu...Misi untuk memborong semua kelengkapan Waris terlaksana!!! . Tak banyak pun yang kami beli....semuanya kelengkapan asas untuk persediaan kedatangan Waris nanti. 

Semuanya ni borong kat Jusco Tebrau City jew...ChintaHati malas nak pergi banyak tempat, jadinya...semua beli kat sini.Lagi pun time kami beli ni ada SALE..so, masih dalam budjet lagi lah kan...

Masa shopping ni...Waris pun tak duduk diam dalam perut. Dia pun sibuk nak memilih juga ;)

**Lepasni misi men dobi dan men packing barang pula....

Date:2 February 2014/ 2 R'khir 1435H
Waris Ayah Bonda: 31 weeks 6 days


love,